Sunday, February 05, 2012

Fenomena UAI, Suhaib Webb

Tidak semua orang suka duduk tadah kitab dengar ustaz mengajar cara langsung. Itu mungkin disebabkan suasana tidak kondusif surau atau masjid di tempat mereka. Anak-anak kecil jiran yang belum cukup akal dibiarkan bapanya bising di dalam masjid, sudahlah kita tidak suka budak kecil, kalau buat perangai dan ganggu kita nak dengar ustaz mengajar lagilah kita berbulu. Ini ditambah pula dengan ustaz skema yang serius tak pandai buat jenaka untuk kendurkan suasana.

Kini melalui jalur lebar dan internet, kita juga boleh hadiri majlis ilmu secara online. Oleh kerana kita orang kebanyakan, maka soalan yang dikemukakan dalam online juga bercorak kebanyakan dan akan relevan dengan masalah kita.

Kini beberapa nama mula menjadi sebutan. Tidak dapat lari dalam perkara ini tentulah ustaz popular, Ustaz Azhar Idrus. Slanga Terengganu-nya seakan menjadi kemestian dan itulah yang disenangi oleh pendengarnya. Asli dan tulus daripada UAI. Namun ada juga yang kurang senang, kononnya kata kasar seperti 'Boddo' yang sinonim dengan UAI; walaupun beliau tidak menggunakannya dengan nafsu tapi tepat pada maksud atau perkara yang hendak disampaikan.

Jika mahu beralih angin daripada perkataan kasar itu, pilihan yang ada adalah mendengar ceramah seorang ustaz Amerika, Imam Suhaib Webb. Berkahwin dengan wanita Malaysia, Imam itu kini muncul dalam program TVnya sendiri iaitu Reflections di TV AlHijrah (Malaysia). Mungkin kerana sudah lama menonton siri TV dan filem Hollywood, maka saya tiada masalah untuk memahami percakapannya. Imam Webb lebih sederhana dalam pandangannya dan mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang begitu kukuh (lulusan Al-Azhar Mesir). Lebih maklumat lagi di --- http://www.suhaibwebb.com/

Walaupun begitu, adalah terbaik bagi kita untuk terus mengunjungi masjid-masjid untuk mendengar secara langsung daripada guru yang mengajar. Di situ ada berkahnya dan di situ juga kita dapat berinteraksi dengan guru dan masyarakat. Usah kerana sebab yang kecil kita menjauhi majlis-majlis ilmu. Insya-Allah, moga menjadi peringatan buat diriku terutamanya, dan menjadi panduan umum buat yang lain.
---

No comments: