Thursday, January 31, 2008

Opera Angkasa (2007), Nazri M. Annuar



Opera Angkasa (2007), Nazri M Annuar
PTS Publications, RM 21.00

Sukar sebenarnya hendak menandingi fiksyen sains (FS) luar negara yang rata-ratanya dikuasai oleh karyawan daripada Barat. Penulis fiksyen sains tempatan selalunya turut dipengaruhi oleh karya-karya mereka. Paling pantas yang terlintas di kepala saya ialah penulis besar seperti Jules Verne, H.G. Wells, Isaac Asimov, Robert A. Heinlein dan Arthur C. Clarke.

Malah siri-siri TV daripada Barat dan Jepun, juga turut mempengaruhi penulisan dan pengembangan idea para penulis tempatan. Siri-siri TV yang saya minati antara lain ialah Battlestar Galactica (tahun 80-an), Star Trek, Buck Rogers, Macross, Mospeada dll.

Peminat tegar siri TV Firefly, tentu sekali jelas dapat melihat beberapa persamaan plot dan saduran watak yang ada dalam 'Opera Angkasa'. Siri tersebut pernah tersiar lewat malam di TV3, beberapa tahun lalu. Mujur, Nazri bersikap gentleman dan memberikan kredit kepada Joss Whedon (pencipta siri) dan Malcolm Reynolds (watak utama siri) dalam Penghargaan; sekurang-kurangnya beliau tidak lupa daripada mana ideanya telah dikembangkan.

Namun, saya fikir penulis FS tempatan harus pandai memberikan nafas budaya setempat kepada karya mereka agar boleh lari sedikit daripada karya-karya Barat. Walaupun dikategorikan sebagai FS, karya-karya daripada Barat turut menyentuh soal-soal sosial, politik dan keagamaan, malah boleh juga menjadi alat propaganda.

Penulis tempatan misalnya boleh menggantikan itu semua dan memasukkan tema Islamik, budaya dan bahasa Melayu. Kritikan-kritikan kepada establishment tempatan juga dialu-alukan, seperti yang sudah sering ditulis dalam cereka bukan fiksyen sains sebelum ini (Kritikan membina lebih baik daripada diam memendam rasa).

Nazri lewat 'Opera Angkasa' telah berjaya memberikan satu karya yang penuh dengan watak-watak yang menarik. Setiap watak dihidupkan oleh Nazri dengan dialog-dialog yang segar, kontemporari dan interaktif. Jelas sekali, Nazri amat menjulang tinggi budaya dan bahasa Melayu dalam karya ini.

Seperti penulis-penulis yang telah berjaya membina mitologi Smallville, Star Wars atau Lord of the Rings, Nazri juga harus diberikan kredit kerana mempunyai usaha untuk membina mitologi 'Opera Angkasa'. Beberapa lampiran telah disediakan bersama-sama novel ini untuk membantu pembaca menghayati mitologi tersebut.

Cuma saya fikir, konsep 'terraform' itu patut diperjelaskan lagi. Oleh kerana novel ini diletakkan dalam genre fiksyen sains, sekurang-kurangnya Nazri sebagai penulis patut menumpahkan ideanya sendiri akan bagaimana konsep 'terraform' ini dijalankan. Adakah semua planet yang sudah di'terraform' langsung tiada menimbulkan masalah kepada penduduknya?

Inovasi 'internet' dan 'email' patut dipertingkatkan. Beberapa ratus tahun akan datang, tidak mungkin kita menjangkakan warga angkasa masih menggunakan teknologi yang pada waktu itu nanti sudah boleh dianggap kuno.

Di akhir novel ini nampaknya masih ada rahsia-rahsia yang ditinggalkan; banyak peristiwa sengaja dibiarkan tergantung. Ini mungkin merupakan satu isyarat bahawa beberapa siri novel sekuel akan menyusul pada masa hadapan dan bakal menjawab segala misteri tersebut.

5 comments:

fadz said...

laaa, tu je... nak ulasan lagi bro..!

Anonymous said...

nanti aku tambah lagi...

mxypltk

Anonymous said...

Terima kasih atas ulasan. Amat-amat menghargainya. InsyaAllah saya akan perbaiki dalam penulisan akan datang.

Mengenai isu emel dan komunikasi - saya kurang terfikir untuk menjelaskan. Tapi membaca komentar ini membuatkan saya mendapat ilham untuk menerangkan 'kenapa' teknologi emel ini tidak begitu maju. :P

Juga beberapa ilham mula terlintas untuk mengaitkan isu terraform.

Terima kasih.

Nazri M. annuar

Anonymous said...

Terima kasih.
Apa Nazri buat sudah baik untuk perkembangan genre FS di Malaysia...teruskan lagi usaha anda, Insya-Allah.

Gembira pula nama Fadli Al-Akiti masih disebut-sebut 500 tahun akan datang...

mxypltk

fadz said...

itu satu 'penipuan' tuan badan novel tu, muahahahaha, satu bodekan yg sudah tertera dlm sejarah... habis..!!