Wednesday, April 18, 2007

Perjalananku Sejauh Ini, Shahnon Ahmad (2006)

Karya: Shahnon Ahmad
Tajuk: Perjalananku Sejauh Ini
Terbitan: Pustaka Shahnon Ahmad (2006)
Harga Pasaran: RM 22.50
Halaman: 188 ms (+ Lampiran, 277 ms)

Sepanjang pengetahuanku, inilah buku terbaru Cikgu Shahnon selepas 'Lamunan Puitis' (2003, DBP). Mujur kini dengan blog mula meningkat popular di kalangan pembaca, berita buku baru, terutamanya oleh penulis seperti Cikgu, peminat cepat maklum dan tahu nak beli kat mana.

Buku ini mudah dibeli melalui kedai buku online popular, Ujanailmu. Sewaktu berkunjung ke Jalan TAR, Februari yang lalu, aku jumpa buku ini dijual di Pustaka Mukmin. Bolehlah anda semua ke sana untuk membeli terus, senang nak belek-belek, tengok dulu biar puas hati.

Untuk buku ini, jangkaan yang kuberikan amat tinggi. Maklumlah, ini autobiografi pula tu. Tak sabar nak tahu rahsia, peristiwa tersembunyi dan sepak terajang politik yang dilalui oleh Cikgu. Tengok cover amat memberangsangkan. Aku agak gambar ini mungkin diambil di US.

Mungkin kerana sudah terbiasa dengan buku terbitan penerbit utama lain yang lebih kemas susunannya, maka buku ini sedikit lemah dalam aspek tersebut. Beberapa kesilapan ejaan di sana-sini mungkin mengelirukan dan boleh membuat pembaca meneka-neka perkataan yang betul.

Buku ini mempunyai 12 bab semuanya dengan Bab 10, Ber'Uzlah, adalah paling panjang (56 muka surat). Bab 10 juga merupakan bab yang paling memerlukan konsentrasi kerana temanya yang berat dan serius. Bab 11, Mahabbah, memberikan sinopsis novel terbaru yang ditulis oleh Cikgu iaitu "Mahabbah", yang baru-baru ini memenangi Hadiah Jubli Emas DBP.

Selebihnya dari muka surat 189 hinggalah 277, merupakan Lampiran: Biodata, yang turut memuatkan senarai karya Cikgu. Lampiran ini juga bolehlah dianggap semacam CV beliau yang selama ini bergerak dalam kancah sastera, akademik dan masyarakat. Ada beberapa perkara harus dimaafkan, seperti updating yang perlu dilakukan. Majalah Tamadun misalnya ditulis sebagai masih menerbitkan novel bersiri, Kami Masih Ingat Lagi.

Berbaloikah membeli buku ini? Sudah tentu, segala pengalaman dan pendapat adalah maklumat first hand dari Cikgu sendiri. Rugilah mereka yang suka mengenali Cikgu secara dekat melepaskan peluang untuk berbuat demikian lewat karya ini.

No comments: