Friday, December 19, 2008

Bunga Dari Kuburan (1987): Arena Wati


Karya: Arena Wati
Tajuk: Bunga dari Kuburan
Terbitan: Dewan Bahasa & Pustaka (1987)

Dalam satu parallel universe ciptaan Arena Wati, empat universiti terkenal di USA telah dibom oleh satu kumpulan subversif. Ledakan itu sungguh tepat masanya ketika semua institusi malang itu turut dilanda taufan dan ribut salji pada malam Halloween. Profesor Walter dari Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Cornell menangisi kemusnahan tersebut. Misteri terus menyelubungi apabila letupan kedua berlaku di Andrew White House dan apartmen pelajar, masing-masing mengorbankan beberapa VIP universiti dan pelajar-pelajar Prof. Walter. Siapakah yang bertanggungjawab dalam kedua-dua letupan tersebut?

Selama ini Prof. Walter telah membayangkan bahawa perang besar seterusnya yang melibatkan USA akan melanda bumi Amerika sendiri. Adakah ini perang yang dimaksudkan? Adakah kemarahan negara-negara seperti Jepun, Korea, Vietnam dan Jerman yang menjadi mangsa-mangsa perang Amerika sudah bangkit dan bertindakbalas? Atau ia hanyalah satu helah kotor yang sebenarnya dirancang oleh orang Amerika sendiri?

Lama sebelum Peristiwa 9/11, Pak Arena terlebih dahulu telah menggambarkan satu serangan besar-besaran ke atas Amerika dalam novel ini. Dalam novel ini, penulis tidak merujuk kepada mana-mana kumpulan pengganas, namun Arena memberikan satu teori bahawa orang Yahudi sanggup dan tega untuk mengorbankan manusia tidak berdosa demi mencapai matlamat mereka (Peristiwa 9/11 ?).

Ralat oleh penerbit seperti kesalahan muka surat (sebenarnya agak banyak juga) yang tidak berturutan (e.g. m/s 171 sepatutnya 172) boleh membantutkan selera pembaca yang tidak sabar. Pak Arena juga mungkin dengan sengaja (atau terlupa untuk edit) menukar-ganti nama Molly dan Nancy untuk satu watak yang sama iaitu isteri Longbeans. Sekejap nama watak tu Molly, manakala dalam paragraph berikutnya jadi Nancy pula.

Novel ini sungguh menarik dibaca. Beberapa ketika seperti membaca karya thriller, terutamanya ketika Nahara dan Biel menjalankan misi mereka. Pak Arena tidak cuba menerangkan dengan penuh teknikal akan misi tersebut, tapi ini tidak menghalang daripada kita menikmatinya. Mungkin Ramlee Awang Murshid boleh mengambil iktibar dari karya ini untuk tulisannya pada masa hadapan.

Banyak fakta mengenai Universiti Cornell mungkin diterima secara first hand oleh Pak Arena ketika beliau bertugas di sana sebagai Fellow pada Julai 1983-Jan 1984.

Buku library ini tiada covernya yang asal, lunyai akibat tangan-tangan peminjam sebelum ini. Sayang sekali, kerana aku sudah lupa bagaimana rupa asal tersebut.

Nota tambahan: Cover di atas baru ditambah untuk tatapan semua.

9 comments:

Dhiya 'Izzah said...

Salam,

Saudara mxypltk,

Saya juga fan nombor satu SN Pak Arenawati!!!!!

Buku pertama beliau yang saya kenal ialah Sakura Mengorak Kelopak, (jumpa di perpustakaan sekolah ketika di tingkatan satu). Saya jadi pemegang rekod "peminjam buku paling banyak kali" untuk buku tersebut. Ketika perpustakaan sekolah terbakar sewaktu saya di tingkatan lima, saya antara yang paling kuat meraung. Salah satu sebab utama ialah kerana tak dapat "berjumpa" dengan buku itu lagi...

Tapi sekarang saya sudah punya koleksi SN Arenawati sendiri. Setiap tahun, menjadi kewajipan untuk saya mengulang baca Sakura Mengorak Kelopak yang amat nostalgik di hati ini!

Buku SN Arenawati yang paling terbaru saya baca ialah buku dalam entri ini. Di perpustakaan uni saya, buku ini masih ada kulit asal yang (walau pun kusam) tapi masih cantik. Saya masih tercari-cari Kuntum Tulip Biru. Mana boleh dapat ye?

amiejamal@yahoo said...

Assalamualaikum,
Saya merasakan generasi muda memang tersangat rugi jika tidak berkesempatan menghayati hasil karya sasterawan negara yang satu ini. Saya juga amat meminati Arenawati sejak di sekolah rendah lagi dan berharap sangat akan dapat memiliki koleksi karya beliau dalam masa yang terdekat ini.
Selain itu saya turut meminati hasil tulisan Pak Sako, Kris Mas, Abdullah Hussein, Aziz Japin yang kesemuanya menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air, bangsa dan budaya.

Sebelum kita membaca hasil tulisan novelis muda hari ini, ada baiknya jika kita luangkan asa mengenali dan mencintai hasil nukilan sasterawan negara yang begitu indah puitis bahasanya, mendalam pula mesej yang tersirat di dalamnya. Jika kita mengetahui...

hani salwah yaakup said...

Salam,

Memang rugi sekiranya kita tidak pernah mahu membaca karya Pak Arena Wati. Seperti Dhiya, karya Pak Arena yang pertama saya nikmati adalah Sakura Mengorak Kelopak. Namun bagaimana pun dalam ketiga-tiga buku ini (Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak) saya rasakan Kuntum Tulip Biru lebih seronok.

Selain itu apa yang menyedihkan adalah ketiga-tiga buku ini tidak lagi diulang cetak oleh DBP (perkara yang sama juga berlaku untuk buku enda gulingku karya pak arena). Lalu, kami generasi muda secara tidak langsung payah untuk menghargainya.

Untuk penggemar Pak Arena mungkin boleh cuba baca Trilogi Armageddon (Mandala, Menorah & Pentagon) terbitan Penerbit UKM.

Wasalam.

mxypltk said...

Saya fikir kesilapan utama ialah DBP bukan tidak mahu ulang cetak. Tapi ia selalu ulang cetak buku-buku tertentu sahaja.

Lihat shj "Rimba Harapan" dan "Interlok" yang sudah berkali-kali dicetak. Untuk tahun 2008, kedua-dua novel itu dicetak lagi. (Maaf, cetakan baru ini bagus utk generasi muda; tidak bermaksud utk kondem kedua-dua novel ini)

Kenapa layanan yang sama tidak diberikan kepada novel Pak Arena, terutamanya Trilogi Amerika-Eropah-Jepun ini.

Sy scara peribadi turut meminati "Kuntum Tulip Biru" - kerana elemen thrillernya. Bayangkn keluarga yang nampak amannya rupa-rupanya adalah sel-sel pengganas yang meletupkan kemudahan asas di Eropah.

Web Sutera said...

Assalamualaikum,

Saya membaca Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak di akhir tahun 80-an dan awal 90-an. Saya membacanya semasa masih belajar di utara tanah air.

Kini saya mengulang membacanya buat kali ke-2 bagi Bunga Dari Kuburan. Ini buku yang pertama saya baca 2 kali, setakat ini.

mxypltk said...

Web sutera, saya pun teruja untuk membacanya sekali lagi. Saya jumpa buku ni di Bazaar Chowrasta, ex-library, masih elok.

Harap DBP dapat terbitkan kembali, spt dilakukan utk 'Kuntum Tulip Biru'.

Rasanya tiada cara lain utk memberi penghargaan terbaik kepada arwah selain menerbitkan semula bukunya utk pembaca-pembaca baru.

Web Sutera said...

Tuan rumah, wow Bazaar Chowrasta! Saya sering ke sana semasa berada di Penang selama 6 tahun. Tetapi buku yang saya cari di sana ialah fiksyen bahasa Inggeris.

Buku dan novel BM saya beli di kedai Koop USM. Masa itu memang harga novel murah-murah, tak macam sekarang ini. Nostalgia...

Secara jujur saya katakan bahawa saya tidak menaruh harapan tinggi kepada pihak DBP atau Dawama. Saya kira seandainya karya-karya aruah Arena Wati diambil hak penerbitan oleh penerbit lain, pakej yang ditawarkan mungkin jadi lebih mengujakan. Mengapa saya kata demikian? Kerana trilogi ini memiliki satu kekuatan yang sampai kini tidak boleh ditandingi oleh novelis Melayu yang masih bernyawa.

rabiah said...

salam

sesiapa yg ingin memiliki Kuntum biru tulip boleh daptkn di kedai buku UKM, di bangunan Pusanika. saya baru dptkn minggu lepas. betapa jahilnya saya hanya mengetahui karya ini selepas setahun lebih pemergian Pak Arena..

Pensil Kayu said...

kbanyakan buku terbitan DBP dijual kat kedai Dawama, tapi selalunya stok tak ada mungkin sebab buku lama.

Saya suka baca penulisan yg dibuat oleh Arena wati, penulisan yg mampu membuka minda pembacanya dari segi pemikiran.

novel yg saya suka hasil karya beliau adalah novel kuntum tulip biru. best sgt!