Monday, February 12, 2007

Dari Salina ke Langit Petang, Wira Bukit 2007

Tajuk: Dari Salina ke Langit Petang
Karya: A. Samad Said
Terbitan: Wira Bukit (WBSB), 2007
Harga Pasaran: RM 40.00

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada WBSB kerana memberikan satu naskhah contoh tajuk ini kepada saya. Saya amat terharu dan gembira dengan anugerah ini.

Judul asal karya ini mempunyai subtitle berikut: 'Proses Mencipta Novel'. Edisi asal tersebut diterbitkan oleh DBP pada tahun 1979. Dan menurut Pak Samad, Dari Salina... merupakan satu-satunya buku beliau yang tidak diulang cetak selama dua dekad. Fuhh, lama tu. Memandangkan nilai karya ini, amatlah rugi jika dibiarkan warga Malaysia ketinggalan dalam menikmatinya. Hanya selepas Pak Samad mengambilalih hak pengeluaran dan menerbitkannya sendiri, barulah karya ini muncul kembali dalam bentuk yang lebih segar (dan 'mengancam'). Sesuai dengan edisi baru yang lebih segar, karya ini dipersembahkan dalam bentuk kulit tebal; lebih tegar dan tahan lama untuk dijadikan koleksi.



Sebagai sebuah autobiografi seni, karya ini menekuni jalan awal Pak Samad ke dunia kesusasteraan sejak dekad lima puluhan abad lalu. Hampir tiada yang disembunyikan oleh Pak Samad dan ini memberi peluang kepada peminat dan pembaca beliau melihat kehidupan sebenar dalam kembara seninya.

Ada sembilan bab semuanya. Masing-masing penuh bermakna dalam menghuraikan proses penciptaan karya-karya agung Pak Samad. Dalam satu bab, Jalan Panjang ke Ufuk Baru, kita dapat faham bahawa antara lain untuk berjaya dalam penghasilan karya, seseorang itu perlu hidup dengan pengalaman tersebut. Salina dan Sungai Mengalir Lesu, tidak mungkin dapat dihasilkan, yang bertemakan Perang Dunia Kedua, tanpa Pak Samad sendiri hidup pada zaman tersebut.

Pak Samad turut menyentuh serba-sedikit mengenai buku-buku karya penulis lain (tempatan dan luar negara) dan bagaimana karya-karya tersebut mempengaruhi pengkaryaan dan hidup beliau pula. Ada juga novel-novel yang beliau sendiri tak 'kunyahi' lumat lantaran tidak begitu memahami langgam bahasanya atau beliau tidak sudahi kerana bertemu dengan novel/karya yang lebih menarik. Ini mengingatkan kepada diri saya sendiri yang membeli banyak buku tetapi masih belum habiskan di atas sebab-sebab yang serupa.

Buku ini patut dibaca oleh peminat Pak Samad dan tergolong dalam buku 'mesti-beli' dalam tahun 2007. Ia merupakan karya yang 'hilang' - the lost book dan kini timbul semula untuk dijamah oleh semua. Jika dulu kita terpaksa berpuas hati membacanya di khutub khanah, maka kini kita berpeluang untuk memilikinya sendiri. Paling mudah didapati melalui Ujanailmu.

No comments: